Friday, June 18, 2010

Hutan Hujan



Hutan di dunia meliputi hampir 40 % atau 4405 juta hektar daripada keluasan bumi. Hampir 50% daripadanya adalah hutan hujan yang terdiri daripada hutan hujan tropika. Hutan di dunia boleh dikelaskan kepada tiga kumpulan utama iaitu,



i) Hutan hujan khatulistiwa

ii) Hutan iklim sederhana

iii) Hutan konifer.

Ada juga kawasan yang mempunyai campuran ketiga-tiga jenis ini. Ciri-ciri pengelasan adalah mengikut pengaruh iklim seperti suhu, hutan dan tanah, jenis tumbuhan, kedudukan geografi, latar belakang dan topografi sesuatu kawasan.


Pengelasan hutan boleh dikategorikan mengikut perubahan ciri-ciri altitud, komposisi flora, habitat, iklim, tanah dan biotik. Pengelasan yang ditetapkan adalah seperti berikut:-

1.Hutan Ericaceous – Gunung

Hutan ini terletak di ketinggian melebihi 1,500 meter a.p.l yang mengandungi spesiess pokok bersaiz kecil, bengkok dan rendah seperti kelat, periuk kera dan berbagai jenis belukar, buluh, resam, paku pakis dan lumut.

2.Hutan Montane
Hutan Montane merujuk kepada kawasan hutan yang terdapat pada ketinggian 1,200 – 1,500 meter dari paras laut yang kebanyakan spesiesnya bersaiz sederhana seperti pokok mempening, pokok berangan dan pokok damar minyak.

3.Hutan Dipterokarp Atas
Hutan Dipterokarp Atas adalah kawasan hutan yang terdapat pada ketinggian 750 – 1,200 meter dari paras laut yang mengandungi terutamanya spesies pokok meranti bukit dan pokok damar minyak.

4.Hutan Dipterokarp Bukit
Hutan Dipterokarp Bukit adalah kawasan hutan yang terdapat di ketinggian antara 300 – 750 meter dari paras laut yang merupakan kelas hutan yang terluas di Semenanjung Malaysia. Spesies utama ialah pokok seraya, pokok keruing, dan pokok meranti.

5.Hutan Dipterokarp Pamah
Hutan ini terletak di ketinggian 300 meter a.p.l. yang mempunyai bilangan pokok yang padat dan berbagai jenis. Spesies utama ialah meranti, balau dan kapur.

6.Hutan Paya Gambut
Hutan ini terletak di belakang hutan paya laut menghala ke darat dengan tanah gambut dan airnya yang kurang masin. Spesies yang terdapat di kawasan ini ialah meranti.

7.Hutan Paya Laut
Hutan ini terletak di persisiran laut yang berlumpur bercampur pasir laut yang mengalami air pasang dan surut. Spesies utama ialah bakau.


Iklim

Ciri­-ciri iklim hutan hujan di Malaysia ialah mempunyai suhu yang seragam, kelembapan yang tinggi dan hujan yang banyak. Angin pada amnya lemah. Hutan hujan Malaysia yang terletak di kawasan doldrum khatulistiwa amat jarang sekali mempunyai keadaan langit tidak berawan langsung meski pun pada musim kemarau teruk. Hutan hujan Malaysia juga jarang sekali mempunyai satu tempoh beberapa hari dengan tidak ada langsung cahaya matahari kecuali pada musim monsun timur laut.

Angin

Walaupun angin di hutan hujan Malaysia pada amnya lemah dan arahnya berubah-­ubah, terdapat perubahan bertempoh dalam corak tiupan angin. Berdasarkan kepada perubahan ini, empat musim boleh dibezakan iaitu monsun barat daya, monsun timur laut dan dua musim peralihan monsun yang lebih pendek.

Monsun barat daya biasanya bermula pada setengah terakhir bulan Mei atau awal bulan Jun dan tamat pada akhir September. Angin lazim pada amnya dari arah barat daya dengan kelajuan yang lemah iaitu di bawah 15 knot.

Monsun timur laut biasanya bermula pada awal November dan berakhir pada Mac. Semasa musim ini, angin lazim adalah dari arah timur atau timur laut dengan kelajuan antara 10 dan 20 knot. Negeri-­negeri pantai timur Semenanjung Malaysia lebih terjejas dengan tiupan angin ini di mana kelajuannya boleh mencapai 30 knot atau lebih semasa luruan kuat udara sejuk dari utara (luruan sejuk).

Semasa musim-musim peralihan monsun, angin pada amnya berkelajuan lemah dan arahnya berubah-­ubah. Pada kedua-­dua musim ini, palung khatulistiwa merentangi Malaysia.

Perlu juga dinyatakan di sini bahawa dalam tempoh dari April hingga November bila mana taufan kerap kali terbentuk di barat Pasifik dan bergerak ke arah barat merentasi Filipina, angin barat daya di kawasan barat laut pantai Sabah dan kawasan Sarawak menjadi lebih kuat dan boleh mencapai 20 knot atau lebih.

Sebagai negara dikelilingi laut, kesan bayu laut dan bayu darat ke atas corak tiupan angin adalah besar terutamanya semasa hari tidak berawan. Pada keadaan petang yang terang cahaya matahari, bayu laut dengan kelajuan antara 10 dan 15 knot selalunya terjadi dan bayu ini boleh mencapai beberapa puluh kilometer ke dalam kawasan pendalaman. Dalam keadaan malam langit terang, proses sebaliknya berlaku di mana bayu darat yang lebih lemah kelajuannya boleh terjadi di kawasan pantai.

Taburan Hujan

Corak tiupan angin bermusim bersama sifat topografi lokal menentukan corak taburan hujan di Malaysia. Semasa musim timur laut, kawasan yang terdedah seperti kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia, kawasan Sarawak Barat dan kawasan pantai timur laut Sabah mengalami beberapa tempoh hujan lebat. Sebaliknya, kawasan pendalaman atau kawasan yang dilindungi banjaran gunung adalah secara relatifnya bebas dari pengaruh ini. Adalah lebih baik taburan hujan di Malaysia diterangkan mengikut musim.

Perubahan Hujan Bermusim di Semenanjung Malaysia

Perubahan hujan bermusim di Semenanjung Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga jenis utama:

(a) Bagi negeri-­negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia, November, Disember dan Januari merupakan bulan yang mempunyai hujan maksimum manakala Jun dan Julai merupakan bulan kering di kebanyakan negeri.

(b) Kawasan selain kawasan pantai barat daya Semenanjung Malaysia, corak hujan menunjukkan terdapatnya dua tempoh hujan maksimum dengan dipisahkan oleh dua tempoh hujan minimum. Maksimum primer biasanya berlaku pada bulan Oktober-November manakala maksimum skunder berlaku pada bulan April-May. Di kawasan barat laut, minimum primer berlaku pada bulan Januari-­Februari manakala minimum skunder berlaku pada bulan Jun­Julai. Di lain-­lain tempat, minimum primer berlaku pada bulan Jun-Julai manakala minimum skunder berlaku pada bulan Februari.

(c) Corak hujan di kawasan pantai barat daya Semenanjung Malaysia lebih dicorakkan oleh kejadian ‘Sumatras’ pagi pada bulan Mei ­ Ogos di mana corak maksima dan minima berganda tidak wujud. Oktober and November adalah bulan yang mempunyai hujan maksimum manakala Februari adalah bulan yang mempunyai hujan minimum. Maksimum Mac-April-Mei dan minimum Jun-Julai tidak wujud atau kurang jelas.

Perubahan Hujan Bermusim di Sabah dan Sarawak

Perubahan hujan bermusim di Sabah dan Sarawak boleh dibahagikan kepada lima jenis utama:

(a) Kawasan pantai Sarawak dan timur laut Sabah mengalami regim corak hujan satu maksimum dan satu minimum. Kedua­dua kawasan mengalami hujan maksimum pada bulan yang sama iaitu Januari manakala hujan minimum pada bulan yang berbeza. Di kawasan pantai Sarawak, hujan minimum berlaku pada bulan Jun atau Julai manakala kawasan timur laut pantai Sabah hujan minimum berlaku pada bulan April. Di bawah regim ini, kebanyakan hujan diterima pada bulan-bulan monsun timur laut iaitu Disember hingga Mac. Sesungguhnya, lebih dari separuh dari hujan tahunan diterima di kawasan barat Sarawak.

(b) Kawasan pendalaman Sarawak pada amnya mengalami taburan hujan tahunan yang agak sekata. Walau pun begitu, agak kurang sedikit hujan diterima semasa tempoh Jun hingga Ogos sesuai dengan kejadian angin lazim barat daya. Perlu di nyatakan di sini bahawa hujan tahunan tertinggi di Malaysia berlaku di cerun bukit kawasan pendalaman Sarawak. Longgokan menerima hujan tahunan purata melebihi 5000 mm.

(c) Kawasan barat laut pantai Sabah mengalami regim corak hujan dua maksima dan dua minima. Maksimum primer berlaku pada bulan Oktober dan maksimum skunder berlaku pada bulan Jun. Minimum primer berlaku pada bulan Februari manakala minimum skunder berlaku pada bulan Ogos. Walau pun perbezaan jumlah hujan yang diterima pada dua bulan maksimum adalah kecil, namun perbezaan jumlah hujan yang diterima pada minimum primer adalah jelas lebih rendah berbanding skunder minimum. Di sesetengah tempat, perbezaan mencapai setinggi empat kali ganda.

(d) Di kawasan tengah Sabah di mana keadaannya berbukit dan terlindung oleh banjaran gunung, hujan yang diterima adalah lebih rendah secara relatif berbanding dengan kawasan­kawasan lain serta taburannya agak sekata. Akan tetapi, dua maksima dan dua minima boleh diperhatikan. Pada amnya, dua minima berlaku pada bulan Februari dan Ogos manakala dua maksima berlaku pada bulan Mei dan Oktober.

(e) Kawasan selatan Sabah mengalami taburan hujan sekata. Jumlah hujan tahunan yang diterima boleh diperbandingkan dengan bahagian tengah Sabah. Februari hingga April adalah tempoh agak kering berbanding bulan-­bulan lain.

Taburan Suhu

Sebagai sebuah negara yang terletak di khatulistiwa, Malaysia mengalami suhu yang sekata sepanjang tahun. Perbezaan tahunan suhunya adalah kurang daripada 2oC kecuali bagi kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia yang kerap dipengaruhi oleh luruan angin sejuk dari Siberia semasa monsun timur­laut. Walaubagaimana pun perubahan suhu tahunannya kurang daripada 3oC.

Julat suhu harian adalah besar, 5oC hingga 10oC bagi stesen­stesen berhampiran pantai dan antara 8oC hingga 12oC bagi stesen­stesen dipendalaman tetapi suhu harian yang tinggi seperti yang terdapat di kawasan benua tropika tidak pernah dialami. Walaupun siang selalunya panas, tetapi di waktu malam ianya sejuk di mana­mana.

Walaupun perubahan bermusim dan bertempat suhu secara perbandingan adalah kecil, tetapi dalam beberapa hal ia dapat ditentukan. Bagi Semenanjung Malaysia, terdapat perubahan suhu yang jelas semasa monsun dan ini terdapat di kawasan pantai timur. Bulan April dan Mei adalah bulan di mana suhu purata bulanan adalah paling tinggi sementara Disember dan Januari pula adalah bulan di mana suhu purata bulanannya paling rendah.

Purata suhu harian dikebanyakan daerah di timur Banjaran Besar adalah rendah berbanding dengan daerah di barat. Perubahan­perubahan nilai ini adalah disebabkan suhu harian yang rendah yang dialami di kawasan daerah timur semasa monsun timur­laut hasil daripada hujan dan litupan awan yang luas. Di Kuala Terengganu, sebagai contoh semasa monsun timur­laut suhu pada waktu siang jarang mencapai 32oC dan kerapkali tidak mencapai 27oC. Beberapa keadaan telah direkodkan di mana suhu tidak melebihi 24oC iaitu suhu terendah dicapai pada waktu malam dikebanyakan tempat. Purata suhu pada waktu malam biasanya di antara 21oC hingga 24oC. Tetapi nilai suhu dihampir semua stesen boleh menurun jauh lebih rendah daripada suhu tersebut , malam yang sejuk biasanya diikuti dengan siang yang panas.

Kelembapan Bandingan

Seperti yang diperkatakan, Malaysia menpunyai kelembapan yang tinggi. Purata kelembapan bandingan bulanannya adalah diantara 10% hingga 90%, berubah mengikut tempat dan bulan. Bagi sesuatu kawasan yang khusus, julat purata kelembapan bandingannya berubah dari minimum 3% (Bintulu) ke maksimum lebih kurang 5% (Alor Star). Di Semenanjung Malaysia, julat minimum terdapat di Sitiawan di mana purata kelembapan bandingan berubah­ubah dari nilai serendah 80% dalam bulan Februari ke setinggi hanya 88% dalam bulan Februari. Julat maksimum pula terdapat di kawasan barat­laut Semenanjung (Alor Star) di mana purata kelembapan bandingan berubah­ubah dari 72% hingga 87% pada bulan Februari.

Adalah diperhatikan bahawa di Semenanjung Malaysia, kelembapan bandingan minimum biasanya terdapat pada bulan Januari dan Februari kecuali bagi negeri­negeri pantai timur iaitu Kelantan dan Trengganu di mana kelembapan bandingan minimumnya adalah pada bulan March. Kelembapan bandingan maksimum pula lazimnya adalah pada bulan November.

Seperti dalam kes suhu, perubahan harian kelembapan bandingan adalah lebih besar berbanding dengan perubahan tahunan. Purata minimum hariannya boleh serendah 42% semasa bulan­bulan kering dan menghampiri setinggi 70% semasa bulan­bulan lembab. Bagaimanapun purata harian maksimumnya pula tidak banyak berubah dari tempat ke setempat iaitu melebihi 94%.Ia mungkin mencapai setinggi 100%. Negeri­negeri di barat­laut iaitu Kedah dan Perlis mempunyai perubahan kelembapan bandingan harian terbesar.

Cahaya dan Sinaran Matahari

Sebagai sebuah negara yang dikelilingi laut dan terletak berhampiran khatulistiwa, Malaysia secara semulajadi menerima cahaya matahari yang banyak dan seterusnya sinaran matahari. Bagaimanapun adalah jarang terdapat dalam sepanjang hari tidak diliputi awan langsung walaupun ketika tempoh kemarau. Litupan awan dapat mengurangkan kandungan cahaya matahari dan seterusnya sinaran matahari. Secara purata, Malaysia menerima sebanyak 6 jam cahaya matahari sehari.

Walau bagaimana pun, terdapat perbezaan mengikut musim dan tempat jumlah cahaya matahari yang diterima. Secara purata, Alor Star dan Kota Bharu menerima lebih kurang 7 jam cahaya matahari sehari sementara kuching menerima hanya secara purata 3.7 jam sehari dalam bulan Januari. Sementara Alor Star secara purata menerima nilai maksima sebanyak 8.7 jam sehari pada bulan yang sama.

Sinaran matahari adalah berkaitan rapat dengan tempoh cahaya matahari. Perubahan bermusim dan bertempatnya adalah lebih kurang sama dengan cahaya matahari.

Sejatan

Di antara kesemua faktor­faktor yang mempengaruhi kadar sejatan, keadaan berawan dan suhuadalah merupakan dua faktor terpenting yang saling berkait. Hari yang berawan bermaknakurangnya cahaya matahari seterusnya kurang sinaran matahari menyebabkan suhu menjadi rendah. Ujian daripada data­data sejatan menunjukkan bahawa bulan­bulan berawan atau hujan mempunyai kadar sejatan yang rendah sementara bulan kering adalah bulan yang mempunyai kadar sejatan yang tinggi. Stesen Senai , salah satu dari stesen yang letaknya di tanah rendah mempunyai purata sejatan terendah dalam sehari iaitu 2.6mm dalam bulan November, sementara Kota Kinabalu pula mempunyai purata sejatan tertinggi iaitu 6.0mm sehari dalam bulan April.

Bagi kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands di mana suhu udaranya adalah rendah, kadar sejatannya juga rendah. Sementara kawasan tanah rendah mempunyai purata sejatan tahunan 4mm hingga 5mm sehari, Cameron Highlands mempunyai kadar yang hanya lebih kurang 2.5mm sehari.






Tuesday, May 18, 2010

KERTAS KERJA BALING d' PUNCAK!

Pendahuluan

Projek Baling de Puncak!, adalah aktiviti sukarela yang akan dijalankan sepenuhnya oleh anak-anak kelahiran Baling, untuk melahirkan perasaan kekitaan dalam konsep 'Satu Malaysia' bagi menonjolkan realiti keakraban masyarakat Baling sesama sendiri. Baling de Puncak! akan mengumpulkan anak-anak Baling dari pelbagai fahaman agama, status, sosial dan umur yang berhasrat ikhlas dan sukarela dalam menjayakan visi dan misi Baling de Puncak!. Projek Baling de Puncak! juga adalah satu program yang dirangka khusus untuk mempromosikan Daerah Baling sebagai salah satu destinasi esko pelancongan di negeri Kedah. Projek ini juga amat menititkberatkan soal Alam Sekitar dan ekosistem tanah tinggi Gunung Baling dan hutan, yang menjadi lokasi utama projek Baling de Puncak!.

Jika diteliti, populasi manusia yang kian meningkat pada penghujung kurun ini telah membawa peningkatan pelbagai masalah alam sekitar. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan seperti perindustrian dan pembalakan telah mengancam alam sekitar. Masalah ini semakin serius dan telah diiktiraf
sebagai masalah sedunia dan telah dibincangkan di Sidang Kemuncak Bumi di Rio dr Janeiro pada 1992 dan juga 'Deklarasi Langkawi' mengenai alam sekitar. Rentetan itu, program baling Baling de Puncak! yang melibatkan aktiviti mendaki, memasang dan menyiapkan replika huruf 'BALING' perlu mengambil kira pelbagai aspek konservasi alam sekitar supaya aktiviti ini berjalan lancar tanpa mencemarkan Ekosistem Tanah Tinggi dan Ekosistem Hutan di Gunung Baling. Salah satu cabaran paling getir yang dihadapi manusia sekarang ialah menguruskan alam sekitar secara bijak. Natijah daripada pengurusan yang tidak mapan ialah tercetusnya krisis alam sekitar yang ,engancam kehidupan manusia itu sendiri di bumi ini. Gunung Baling yang menjadi mercu tanda Daerah Baling mungkin suatu masa nanti hanya tinggal nama sekiranya program 'sukarela' kemasyarakatan seperti Baling de Puncak! dipandang sepi oleh kita. Supaya program 'Baling de Puncak! akan menjadi aspirasi kepada pemduduk Baling untuk menjalankan pelbagai aktiviti hiliran lain seperti ekopelancongan dan sebagainya. Rasional / Sejarah Idea asal untuk meletakkan nama BALING di Puncak Gunung Baling, tercetus daripada saudara Ravi A/L Muneesamy yang mengusahakan bengkel kereta di bawah Gunung Baling yang terletak berhampiran kuil Hindu Baling. Hubungan saudara Ravi dan Gunung Baling terlalu akrab, kerana di situlah tersimpan suka dan duka beliau sepanjang mengusahakan bengkel keretanya. Usulnya beliau mengenai keinginannya kepada beberapa rakan dipandang sepi dan dikatakan 'Mustahil' dan 'Membuang Masa'. Namun Cikgu Nordin Mehat (Mantan Pengetua Sekolah), saudara Saad Noordin (Wartawan), Cikgu Ahmad Rozailli dan semua AJK Kerja memberikan reaksi berbeza, masing-masing memberikan reaksi positif mengikut bidang dan kepakaran masing-masing. Rentetan itu, bermulalah kerja-kerja untuk merealisasikan idea saudara Ravi, sehinggalah mesyuarat AJK Kerja kali pertama yang berlangsung pada 10 Mac 2010, Jam 10.00 pagi, bertempat di Bilik Mesyuarat Koperasi Pegawai Kerajaan Baling, Kedah Berhad, dengan mendapat sokongan dan perhatian penuh Tuan Haji Ahmad Fisol bin Md Noor (SDK. AMK. BCK.) Pegawai Daerah Baling.

Matlamat / Objektif

  • Memberi pendedahan kepada masyarakat Baling khususnya, dan penduduk Negeri Kedah Darul Aman amnya bahawa 'Konsep Satu Malaysia' bukan sekadar retorik sahaja. Kerja amal yang akan dijalankan adalah impak kepada semangat Satu Malaysia.
  • Bertujuan memupuk semangat 'Gotong Royong' kearah melahirkan masyarakat Malaysia yang bersatu serta menekankan nilai hidup sejagat iaitu, berat sma dipikul, ringan sama dijinjing, lurah sama dituruni puncak sama didaki, hati gajah sama dilapah hati nyamuk sama digincah.
  • Bertujuan menjadikan projek 'Baling De Puncak' sebagai satu program yang dirangka khusus untuk mempromosikan Daerah Baling sebagai salah satu destinasi ekopelancongan di negeri Kedah.
  • Memberikan pendedahan teknikal dalam melaksanakan projek 'Baling De Puncak' secara 'had-on' dalam menjalankan aktiviti meletakkan nama BALING di Puncak Gunung Baling di mana peserta yang terlibat akan lebih bersedia untuk program-program lain dimasa akan datang.
  • Supaya dapat membentuk satu kumpulan masyarakat yang akan dilatih dan mampu menjadi mentor kepada rakan-rakan lain. didalam memberi pendedahan kepada masyarakat tentang pentingnya menjaga ekosistem Tanah tinggi dan Hutan yang menjadi penyumbang utama kepada kestabilan Kualiti Alam Sekitar.
Kumpulan Sasaran

a) Semua Warga Baling, anak-anak kelahiran Baling dan warganegara Malayssia yang berminat.
b) Pencinta Alam Sekitar
c) Penuntut sekolah & Institusi Pendidikan Tinggi
d) Jabatan Kerajaan & Swasta

Peserta

Anggaran peserta ialah seramai 100 hingga 150 orang, merangkumi pelajar sekolah, pelajar IPT, orang ramai, Jabatan Kerajaan, Swasta dan NGO.

Tarikh

Sekitar bulan Mac hingga Jun 2010 ( hari Sabtu)

Tempat

i) Puncak Gunung Baling
ii) Dewan Tun Abdul Razak Baling
iii) Jambatan Baling
iv) Kampung Bawah Gunung Baling

Ahli Jawatankuasa Pengelola
Lantikan Ahli Jawatankuasa Kerja Projek

  1. Tn. Haji Ahmad Fisol B. Md Nor : Penaung
  2. En. Nordin Bin Mehat : Pengerusi
  3. En. Ahmad Rozalli Bin Abd. Rauh : Timbalan Pengerusi
  4. En. Ravi A/L Muneesamy : Penyelaras Projek
  5. Pn. Norlia Binti Ramli : Setiausaha
  6. En. Hishamuddin Abu Hassan Ashaari : Bendahari
  7. En. Saad Bin Noordin : Pengerusi Seranta
  8. Cik 'Aina Hafiza Binti Hamzah : Blog & IT
  9. En. Amzan Bin Ghazali : AJK Keselamatan & Alam Sekitar
  10. En. Jamil Khir Bin Yahya : AJK Teknikal
  11. En. Shah Hiran Bin A. Rahim : AJK Hadiah & Cenderamata
  12. En. Nor Azman Bin Ishak : AJK Makanan & Minuman
  13. En. Zulkifli Bin Bakri : AJK Pendaftaran
  14. En. Ravi A/L Muneesamy : AJK Penyelaras /Tajaan
  15. En. Ismail Bin Darani : AJK Protokol
  16. En. Abdullah Bin Taib : AJK
  17. En. Muhd Nasrul Bin Hashim : AJK
  18. En. Jamaluddin Bin Md. Rejab : AJK
  19. En. Demester Lian : AJK

Implikasi Kewangan
Laporan Awal Kewangan


  1. HURUF (B-A-L-I-N-G) - RM 1,250.00 X 6 huruf = RM 7,250.00
  2. FOUDATION / TAPAK - anggaran kemudian
  3. PENGURUSAN - Setiausaha - RM 100.00
  4. - Bendahari - RM 50.00
  5. - Seranta - RM 500.00
  6. - Keselamatan - RM 200.00
  7. - Cenderahati - RM 200.00
  8. - Makan/Minum - RM 4,000.00
  9. - Pendaftaran - RM 100.00
Tajaan

Jabatan dan Agensi yang disasarkan:
  1. Kementerian Pelancongan
  2. Badan-badan Kewangan di Daerah Baling
  3. Kontraktor & Persatuan berkaitan kontraktor
  4. Badan-badan Koporat
  5. Koperasi
  6. Jabatan Perpaduan
  7. Prudential Insurans
  8. Persatuan Pencinta Alam Malaysia
  9. Anak-anak BALING yang berjaya dan berpengaruh
  10. Kilang/ IKS/ Klinik
  11. Peniaga / Pasaraya
  12. Orang Perseorangan
Penutup

Sesungguhnya usaha murni meletakkan nama 'Baling' di Puncak Gunung Baling sepatutnya dibantu oleh semua Warga Baling, anak-anak kelahiran baling dan warganegara Malaysia yang berminat supaya masyarakat Malaysia dan generasi muda kita dapat diberi pendedahan awal, tentang konsep tolenrasi dan kerjasama dalam wadah Konsep Satu Malaysia Gagasan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak, serta konsep konservasi alam sekitar yang mapan dalam usaha mewujudkan alam sekitar yang Asli, Indah, Selesa, dan Selamat.

Adalah di harapkan projek nama 'BALING'' di Puncak Gunung Baling ini akan melakar sejarah yang tersendiri bagi masyarakat Baling yang bersepadu, seimbang dan harmoni disamping melahirkan masyarakat yang benar-benar berani, bersemangat, mahir dan berpengetahuan tinggi terhadap usaha mengekalkan Alam Sekitar yang indah dan selamat. Kejayaan meletakkan nama Baling de Puncak membuktikan kerjasama semua kaum di Baling dalam menyahut seruan perdana Menteri terhadap slogan 'One Malaysia'. Semoga usaha murni semua yang terlibat akan tercatat dalam tinta sejarah kejayaan anak-anak Baling.

Sekian Terima Kasih


Disediakan Oleh,



_______________
Amzan Bin Ghazali Aishah
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
SMK Siong. 09100 Baling,
Kedah Darul Aman.

_____________________________________________________________________________________

Penghayatan Gunung Dan Hutan

Peringatan:

- Jangan ambil apa-apa kecuali gambar

- Jangan tinggal apa-apa kecuali tapak kaki

- Jauhi & elakkan membuang sampah

- Jauhi pembakaran terbuka

- Visi dan Misi utama ialah :

Meletakkan Nama 'Baling' Di Puncak Gunung Baling

Peta Baling, Kedah Darul Aman